Sunday, 27 September 2015

Failee Wira Panthers

27/09/2015 

Diperam sekian lama, secara tiba-tiba Mohd. Failee Mohd. Ghazli, diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama menentang Pahang di Stadium Bandaraya.

Tiada siapa meletakkan harapan terlalu tinggi buat Failee membuat sesuatu apatah lagi menjaring sebarang gol kerana bertemu skuad Tok Gajah yang merupakan pasukan pilihan.

Seperti kisah dongeng, Failee yang pernah beraksi dengan Perak dan Sime Darby, mempersembahkan dirinya masih bernilai buat pasukan.

Benar-benar melepas geram kerana langsung tidak diberi sebarang ruang beraksi di Liga Perdana, Failee menjadi sanjungan penyokong Pulau Pinang bila meledak dua jaringan awal untuk membenam Pahang, 4-1.

Failee mengakui tidak percaya pada mulanya bila mengetahui dia disenaraikan oleh jurulatih, Jacksen F. Tiago  sebelum perlawanan dan kini, dia boleh tersenyum puas.

” Tidak tahu hendak kata apa, saya kehilangan idea hendak sampaikan perasaan ini sebaik tamat perlawanan.

” Dah dapat mulakan perlawanan pun saya rasa gembira, apatah lagi menjaringkan dua gol ketika bertemu Pahang, rasa macam mimpi.

” Sekian lama saya tunggu saat ini, barulah jurulatih beri peluang kepada saya buktikan kemampuan dan harap apa dipamerkan dapat jadi batu loncatan mengenai masa depan saya bersama Pulau Pinang,” katanya.

Failee menjaringkan dua gol pada minit ke-38 dan 47 disusuli Mohd. Azinee Taib, minit ke-81 dan Alberto Goncalves Da Costa,minit ke-84.

Gol saguhati Pahang dicetak Dickson Nwakaeme pada minit ke-41 yang  menyaksikan juara bertahan Piala Malaysia itu bagaikan tiada jawapan menangkis aksi hebat skuad Harimau Kumbang.

Sepanjang musim ini,Failee hanya diberi peluang bermain dalam pasukan Piala Presiden dan jarang berada dalam senarai 18 pemain.

Selain Failee, persembahan penjaga gol, Mohd. Remezey Che Ros tidak kurang hebatnya bila menyelamatkan kira- kira tiga percubaan berbahaya daripada Dickson Nwakaeme.

Dickson juga kerap kali dirantai kemas oleh pemain muda, Mohd. Redzuan Suhaidi sepanjang 90 minit permainan.

Tiga mata berharga itu kembali membuka ruang buat Pulau Pinang mengintai tempat ke suku akhir Piala Malaysia.

“Harap kami dapat terus konsisten dalam tiga perlawanan terakhir tambahan kami kena bertandang dua kali ke tempat lawan.

” Motivasi kami semua jelas meningkat selepas perlawanan dan kami percaya boleh menewaskan sesiapa sahaja jika bermain seperti ini,” kata Failee.

No comments:

Post a Comment