21/09/2015
Jika ada seorang pemain yang boleh beri banyak perbezaan kepada pasukan, gelaran itu layak diberikan kepada Mohd. Azinee Taib.
Tegas jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F.Tiago, bekas pemain JDT II itu layak, mendapat pujian selepas pamer persembahan hebat menentang PDRM dan beberapa aksi terakhir Liga Perdana.
” Apa lagi saya boleh perkatakan mengenai Azinee, dia memang pemain yang boleh melakukan sesuatu di luar jangkaan.
” Saya memang tidak terkejut dengan apa dia pamerkan ketika menentang PDRM, dia memang ada kualiti semasa mengawal bola serta mengatasi pertahanan lawan.
” Jika ditanya mengapa pasukan Pulau Pinang berjaya di saat akhir naik ke Liga Super musim depan, ia kerana Azinee salah satu puncanya,” katanya.
Azinee pamer aksi memukau bila meledak dua daripada tiga jaringan Pulau Pinang dengan gol terakhir terhasil menerusi gerakan solo yang menarik.
Memperdaya tiga pemain melalui larian pantas, dia menggelecek penjaga gol PDRM, Saiful Amar Sudar pada minit ke 80.
Sementara itu, Jacksen melaungkan keyakinan Pulau Pinang sudah berada di gear terbaik berdepan juara bertahan, Pahang.
Dapat melupakan kekalahan pahit 0-3 di tangan PKNS pada aksi pembukaan, satu mata yang dipungut itu menjadi penyala semangat buat Pulau Pinang memburu tiket ke suku akhir.
” Ramai merasakan kami akan kalah kepada PDRM bila tumbang 0-3 pada aksi sulung namun buktikan sebaliknya bila serlahkan karakter berbeza.
” Biarpun sedikit kecewa kerana gagal mendapat kemenangan, pemain sudah dapat rentak yang saya mahukan.
” Mungkin kami akan lakar satu keputusan positif bila bertemu Pahang di laman sendiri, ” katanya.
No comments:
Post a Comment